|
Polis tahan penagih miliki sekotak peluru |
| 05/02/2010 |
| utusan (siti), Utusan Malaysia |
|
KUALA TERENGGANU 4 Feb. - Lain yang dicari, lain pula yang ditemui.
Begitu yang berlaku di sebuah rumah, dipercayai dijadikan sarang penagih dadah di Kampung Batu Lapan, Jalan Kelantan, dekat sini semalam.
Bagaimanapun dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang, polis menemui sekotak peluru bersaiz 5.56 milimeter.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, serbuan itu hasil maklumat awam mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah di rumah tersebut.
"Namun hasil pemeriksaan menemui sebuah kotak mengandungi peluru," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, berikutan itu, suspek yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai buruh ditahan bagi membantu siasatan.
"Kita sedang siasat dari mana peluru itu diperoleh dan kenapa suspek menyimpan peluru berkenaan. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah," jelasnya.
Manoharan menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan suspek kini direman sehingga Ahad ini. |