Muka Utama | Siber Kaunseling | Kongsi Cerita| Forum | Laman Lain | Hubungi Kami | E-Mel | Login   
 
FAKTA BERITA
Berita-berita yang terdapat dilaman ini telah diambil dari petikan-petikan akhbar tempatan dan juga akhbar luar negara. Segala maklumat yang terkandung di dalam berita tersebut adalah milik akhbar yang berkenaan.
 
Berita :: Maklumat Lanjut Berita

Dadah: Tolak cadangan YB, ikut syor pakar perubatan
18/04/2004
DR. WAN MOHD. RUSHIDI WAN MAHMUD, Utusan Malaysia - Forum

Saudara Pengarang,

PENAGIHAN dadah merupakan masalah yang masih menghantui masyarakat kita di Malaysia. Pelbagai kempen telah dijalankan dan jutaan ringgit telah dibelanjakan namun usaha yang dijalankan masih belum menampakkan hasil yang membanggakan.



Oleh kerana masalah penyalahgunaan dadah di negara ini memang sudah berada pada tahap berbahaya, kerajaan telah mengisytiharkan bahawa dadah harus diperangi hingga ke akar umbi.



Namun begitu apa yang menyedihkan ialah keengganan pihak yang terlibat untuk mendengar dengan serius dan mengambil pandangan daripada para pakar perubatan.



Telah beberapa lama Persatuan Perubatan Malaysia khususnya berusaha memperkenal dan menonjolkan model perubatan bagi mengubati masalah penagihan dadah namun masih tidak mendapat tempat di hati mereka yang bertanggungjawab.



Sebaliknya pendekatan lama yang telah terbukti tidak memberi kesan yang baik dan banyak membazirkan wang rakyat masih dikekalkan.



Mungkin ada yang masih kabur mengenai pendekatan ini. Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menerangkannya dengan lebih lanjut. Pada asasnya model ini tidak menganggap mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah ini sebagai `sampah' yang perlu disisih dan diasingkan daripada masyarakat atau dikenakan hukuman seperti penjenayah dan dikurung di dalam penjara selama mungkin.



Sebaliknya mereka perlu dikategorikan sebagai pesakit yang mengalami penyakit yang perlu diubati. Mereka berhak mendapat layanan dan pertimbangan yang sama dengan para pesakit kronik yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan sebagainya.



Mungkin setelah memahami konsep ini, maka tidak akan timbul lagi cadangan yang karut seperti yang disuarakan oleh Ahli Parlimen (BN Sekijang), Baharum Mohamed di Dewan Rakyat pada 13 April 2005), untuk mengasingkan penagih ini di sebuah pulau dan diberi dadah sebanyak mungkin.



Kenyataan sedemikian yang datang daripada seorang yang bergelar Yang Berhormat (YB) bukan sahaja memalukan malah menampakkan kurangnya sensitiviti dalam membahaskan isu yang sebegini besar. Secara tidak langsung ia juga menggambarkan betapa tebalnya stigma terhadap para penagih dadah ini bukan sahaja dalam kalangan masyarakat biasa malah dalam kalangan mereka yang diberi kepercayaan untuk menangani masalah ini.



Pendekatan menggunakan model perubatan ini secara tidak langsung akan menghapuskan stigma yang masih menebal dalam kalangan masyarakat kita mengenai penyalahgunaan dadah, menyebabkan lebih ramai penagih tampil mendapatkan rawatan serta menggalakkan lagi lebih ramai ahli keluarga, sahabat handai serta orang ramai untuk turut membantu. Pendekatannya telah diusahakan dengan jayanya di banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa negara-negara Eropah.



Pendekatan model perubatan ini menekankan dari dua aspek utama iaitu menggunakan ubat-ubatan dan kaunseling/psikoterapi khusus. Dari segi ubat-ubatan, dua contoh ubat yang paling baik ialah buprenorphine dan methadone.



Kedua-dua ubat itu boleh didapati di negara kita sekarang sama ada melalui rawatan yang dikendalikan di klinik-klinik swasta mahupun pusat rawatan pakar penagihan yang khusus. Ia berfungsi sebagai gantian kepada dadah heroin/morphin yang digunakan oleh para penagih dan telah terbukti berkesan untuk mengurangkan kesan penagihan dan risiko-risiko lain yang berkait rapat dengan penggunaan dadah tersebut.



Tidak perlulah kita memberi dadah heroin/morphin kepada penagih tersebut seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat kita di Parlimen itu.



Apa yang jelas ialah masih ramai di antara kita termasuk ahli politik dan mereka yang terlibat dalam bidang perundangan atau bidang perubatan sendiri masih sangsi serta tidak bersetuju dengan pendekatan ini walaupun telah terbukti keberkesanannya. Antara punca utama ialah kepercayaan bahawa:



Penggunaan rawatan terapi gantian (substitution therapy) menggunakan buprenorphine dan methadone hanya berfungsi untuk menukarkan penagihan heroin kepada buprenorphine atau methadone sahaja dan bukannya merawat masalah ketagihan.



Mereka yang mengambil buprenorphine/methadone tidak boleh berfungsi sebagai ahli masyarakat yang berguna sama seperti mereka yang ketagihan heroin.



Mereka yang mengambil dadah tidak perlu diberi ubat kerana ia akan mengelakkan mereka daripada menjalankan tanggungjawab diri sendiri.



Masalah penagihan ini dicari oleh mereka sendiri. Oleh itu ia lebih merupakan isu moral dan bukannya isu perubatan.



Mereka yang terlibat dengan penagihan selalunya dianggap berkelakuan pelik, ganas atau menyusahkan. Masyarakat beranggapan bahawa mereka ini perlukan hukuman yang berat dan bukannya rawatan perubatan.



Rawatan perubatan sebegini tidak berkesan, membazirkan wang kerana setelah tamat rawatan, mereka akan kembali menagih seperti sediakala.



Jika dipandang daripada sudut yang sedemikian, memanglah susah untuk kita menerima model rawatan seperti ini.



Namun kita perlu lebih berobjektif dan rasional dalam hal ini. Penilaian yang dibuat perlulah berdasarkan bukti yang nyata dan bukannya berdasarkan emosi.



Langkah pertama ialah cuba memahami pendekatan ini terlebih dahulu. Kemudian lihatlah hasil kajian yang telah banyak dilakukan di luar negara serta pengalaman negara lain yang mempraktikkan penggunaan terapi gantian seperti ini.



Telah banyak faedah yang telah diperoleh dan ini mungkin tidak dapat dibayangkan atau diterima oleh mereka yang terlalu bergantung kepada pendekatan yang orthodoks atau yang sedia ada. Antara faedah tersebut ialah:



Mereka yang mahu berhenti daripada penagihan dadah tidak perlu lagi melalui proses pengunduran (withdrawal) yang menyakitkan dan menyeksakan seperti yang sering dipraktikkan di banyak pusat serenti, di penjara atau pusat pemulihan tradisional. Pendekatan secara cold turkey ini bukan lagi satu alternatif dengan adanya terapi gantian yang mudah dan lebih berperikemanusiaan seperti sekarang.



Mereka yang mahu mendapat rawatan tidak perlu diasingkan daripada orang ramai. Mereka boleh mendapat rawatan sambil bekerja. Dengan ini mereka tidak akan kehilangan pekerjaan serta tidak dipinggirkan daripada keluarga dan masyarakat. Malah mereka boleh terus menyumbang tenaga kepada agama, bangsa dan negara.



Lebih mudah untuk ahli keluarga serta orang ramai tampil untuk membantu mereka yang terlibat kerana stigma yang selama ini menghantui mereka akan dapat dihapuskan.



Risiko akibat daripada penggunaan heroin dan morphin akan dapat dihindari. Ini termasuklah risiko pembabitan dalam jenayah, jangkitan HIV serta kematian akibat daripada penyalahgunaan dadah tersebut.



Proses rawatan kaunseling secara individu, keluarga atau berkelompok dapat dijalankan secara berkala dengan lebih berkesan oleh doktor atau pakar yang merawat pesakit tersebut.



Penggunaan model rawatan secara perubatan ini bukanlah bermaksud kita mengetepikan sama sekali proses rawatan yang sedia ada. Rawatan secara kaunseling seperti yang dijalankan oleh pelbagai agensi bukan kerajaan (NGO), Pengasih, Pemadam, Agensi Dadah Kebangsaan ataupun yang dikendalikan di hospital, klinik atau pusat rawatan swasta boleh digabungkan supaya kita mendapat faedah dari semua segi sama ada fizikal atau mental serta rohani dan jasmani.



Kesimpulannya, marilah kita bekerjasama dalam menangani masalah penagihan dadah ini. Kita mempunyai ramai pakar psikiatri dan psikologi yang berkaliber sama ada di universiti, hospital kerajaan mahupun swasta.



Mereka boleh diundang memberi pendapat serta pandangan demi kebaikan bersama khususnya dalam Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) sama ada di peringkat kebangsaan mahupun jawatankuasa yang sama di peringkat negeri. Pendekatan yang lebih menyeluruh akan dapat membantu kita memerangi musuh nombor satu negara ini dan menghapuskan gejala yang telah banyak merosakkan bakal pewaris generasi kita di masa hadapan. - DR. WAN MOHD. RUSHIDI WAN MAHMUD, Pakar Perunding Psikologi dan Psikiatri, Unit Perubatan Neuro-Behaviour, Kedah Medical Centre, Pumpong, Alor Star, Kedah.


  PEMADAM tidak akan bertanggungjawab dengan kerosakan dan liabliti daripada penggunaan maklumat dari laman web ini.
PEMADAM © 2010 Hakcipta Terpelihara.
Powered by : Content Capital Sdn Bhd